Maher Zain Janji Persembahan Istimewa Di Sabah Sempena Konsert Jelajah Malaysia 2019

Penyanyi antarabangsa Maher Zain (tiga dari kiri) bersama Pengasas dan Presiden My Event International, Shahul Dawood (dua dari kiri) pada sidang media Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 – Gambar Facebook Page UMS

KOTA KINABALU: Penyanyi antarabangsa, Maher Zain bakal menghiburkan peminatnya di negeri ini sempena Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019.

Berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 17 Mac ini, Sabah adalah lokasi terakhir konsert jelajah berkenaan selepas Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Penyanyi antarabangsa, Maher Zain pada sidang media Konsert Jelajah Malaysia 2019. Gambar Facebook Pages UMS

Ditemui pada sidang media konsert berkenaan  di UMS, hari ini, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu berkonsepkan ketuhanan itu menyatakan keterujaannya datang ke Sabah selain tidak sabar membuat kemunculan sulung bagi menghiburkan peminat.

“Negeri ini ialah lokasi terakhir bagi siri jelajah di Malaysia. Oleh itu, saya mahu atmosfera konsert di sini nanti sedikit berbeza daripada tiga lokasi sebelumnya.

“Walaupun kali pertama datang ke negeri ini namun suasananya sudah mula menambat hati dan semangat mengadakan konsert hujung minggu ini kian membara.

Penyanyi antarabangsa, Maher Zain bersalaman dengan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin – Gambar Facebook Pages UMS

“Konsert besar ini pastinya akan menjadi salah satu memori terindah dalam perjalanan kerjaya seni saya kerana Malaysia merupanya antara negara yang sering dikunjungi,” kata penghibur kelahiran Lubnan itu.

Turut hadir Pengasas dan Presiden My Event International, Shahul Dawood.

Terdahulu, penyanyi asal lagu Thank You Allah dan Forgive Me berkenaan bertemu dengan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Sementara itu, Shahul berkata pihaknya menjangkakan sekitar 5,000 penonton bakal membanjiri dewan utama UMS terbabit untuk menyaksikan sendiri persembahan penghibur antarabangsa terkenal itu.

Menurutnya, konsert itu juga nanti akan disaksikan kira-kira 1,000 tetamu istimewa yang terdiri daripada pelajar tahfiz, anak yatim dan ibu tunggal di seluruh negeri namun pihak yang terpilih belum dimuktamadkan.

Sebarang pertanyaan serta pembelian tiket boleh berhubung terus di talian 03 8070 7666 atau pembelian secara atas talian di www.tixmalaysia.com.-SabahNews Today

Penyanyi antarabangsa, Maher Zain (kanan) bersama Pengasas dan Presiden My Event International, Shahul Dawood (kiri) pada sidang media kelmarin. Gambar Facebook Pages UMS

Artikel Asal : https://www.sabahnewstoday.com/maher-zain-janji-persembahan-istimewa-di-sabah-sempena-konsert-jelajah-malaysia-2019/

470