Jalan Sapulut-Kalabakan`putus-putus’

PERMULAAN Jalan Sapulut – Kalabakan di Kampung Sapulut, Nabawan. – Foto IHSAN PEMBACA.

NABAWAN: Sasarannya mahu mengurangkan tempoh perjalanan selain memberi pilihan lebih baik kepada pengguna jalan raya yang sering berulang-alik antara Tawau dan Kota Kinabalu melalui Nabawan dan Keningau, di sini.

Itu yang diharapkan rakyat Sabah dengan selesainya pembinaan Jalan Sapulut-Kalabakan sepanjang 145 kilometer (km) pada tahun 2015 selepas dinaik taraf melalui dua fasa, iaitu bermula pada tahun 2004 dan 2011 dengan tempoh pembinaan keseluruhan selama lapan tahun.

Namun, selepas disiapkan, laluan merentasi beberapa kawasan hutan simpan dan konsesi pembalakan itu hanya menggembirakan pengguna selama beberapa bulan sebelum keadaannya berubah menjadi teruk dan `putus-putus’, malah ada mengatakan keadaan sebelum dinaik taraf lebih baik.

Keadaan sebahagian Jalan Sapulut – Kalabakan ketika ini yang mengalami kerosakan teruk dan banyak putus-putus walaupun baru kira-kira tiga tahun dinaik taraf. – Foto IHSAN PEMBACA.

PETA menunjukkan laluan Jalan Sapulut – Kalabakan yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan Tawau melalui Keningau dan Nabawan. – Foto IHSAN PEMBACA.

PETA projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang menunjukkan laluan Jalan Sapulut – Kalabakan menghubungkan pantai barat dan pantai timur di bahagian selatan Sabah. – Foto IHSAN PEMBACA.

Berdasarkan jarak, dari Keningau ke Tawau sejauh kira-kira345 km, sepatutnya perjalanan dengan purata kelajuan 90 kilometer sejam mengambil masa empat atau lima jam, namun disebabkan jalan rosak terutama di antara Sapulut dan Kalabakan, perjalanan menjadi panjang dan mengambil masa antara enam ke tujuh jam.

Ini, bermakna jika bergerak dari Kota Kinabalu ke Tawau melalui Keningau dengan jarak keseluruhan 476 kilometer, tempoh perjalanan boleh mencapai hingga sembilan ke 10 jam menggunakan kereta atau tujuh ke lapan jam bagi pacuan empat roda.

Situasi itu menggambarkan hampir tiada bezanya menempuh perjalanan dengan jarak yang lebih jauh dari Kota Kinabalu ke Tawau melalui Jalan Kota Kinabalu-Ranau-Telupid-Kinabatangan-Lahad Datu-Tawau yang jaraknya 555 kilometer yang kebiasaannya mengambil masa antara 10 hingga 11 jam termasuk masa rehat.

Ketika baru disiapkan pada tahun 2015, perjalanan melalui Jalan Sapulut – Kalabakan dari Tawau ke Kota Kinabalu dan sebaliknya disasar tiga jam lebih cepat berbanding melalui Jalan Kota Kinabalu-Ranau-Telupid-Kinabatangan-Lahad Datu-Tawau.

Keadaan teruk di laluan itu disebabkan aktiviti lori mengangkut kayu balak yang menggunakan jalan raya berkenaan sehingga menyebabkan struktur aspal mendap dan beralun sebelum pecah, berlubang dan akhirnya hancur.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman, berkata kehadiran lori balak menjadi masalah utama yang menjejaskan Jalan Sapulut – Kalabakan, namun usaha menghentikan operasi kenderaan berat itu sukar dilakukan.

“Memandangkan masih ada konsesi pembalakan beroperasi di hutan sepanjang laluan Kalabakan – Sapulut, pergerakan lori balak pasti berlaku dan kita mengakui memang sukar untuk memantau operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan sekarang ialah untuk memastikan jalan raya berkenaan dibaiki untuk keselesaan pengguna dengan meningkatkan aspek ketahanan strukturnya, berbanding meminta lori balak tidak menggunakan jalan raya berkenaan.

Katanya, JKR dan pelbagai pihak sudah diminta mengambil tindakan terhadap lori balak yang menggunakan laluan berkenaan terutama jika membawa muatan berlebihan, namun tidak berhasil.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sudah diminta meningkatkan penguatkuasaan termasuk membina stesen timbang untuk memantau kenderaan membawa muatan berlebihan tetapi kita sedar agensi itu juga berdepan banyak kekangan dan mustahil dapat memantau sepanjang masa.

“Jadi, langkah terbaik ialah baiki saja jalan itu. Saya difahamkan JKR sedang menjalankan kajian mengenai kaedah pembaikan jalan raya yang boleh menahan berat kenderaan berlebihan. Jika berjaya, ia akan digunakan untuk membaiki semua kerosakan di laluan berkenaan,” katanya.

Sebelum dinaik taraf, Jalan Sapulut-Kalabakan adalah laluan balak yang dibina syarikat pembalakan sejak kira-kira 30 tahun lalu sebelum dijadikan laluan alternatif menggunakan pacuan empat roda bagi menghubungkan Tawau dengan Keningau. – Berita Harian

INFO

Jalan Sapulut – Kalabakan

* 145 kilometer panjang

* 2 fasa pembinaan

* RM636 juta – kos pembinaan laluan gravel 2004-2008 (fasa 1)

* RM270 juta – kos naik taraf jalan berturap 2011-2015 (fasa 2)

* Menghubungkan Tawau dan Kota Kinabalu melalui Keningau, Nabawan dan Kalabakan

* 345 kilometer jarak perjalanan Keningau-Tawau

* 476 kilometer jarak perjalanan Kota Kinabalu-Tawau

274