Cuba seludup 1,500 penyu

ANTARA penyu yang diikat menggunakan pita pelekat. FOTO/Bureau of Customs NAIAAFP

MANILA: Pihak berkuasa Filipina merampas 1,500 ekor penyu eksotik bernilai AS $87,000 (RM354,604) yang disembunyikan dalam beg pakaian milik seorang penumpang pesawat dari Hong Kong yang tiba di Lapangan Terbang Manila, semalam.

AFP melaporkan, sebahagian daripada haiwan berkenaan diikat dengan pita pelekat sebelum disembunyikan di sebalik pakaian dan kasut dalam beg milik warga Filipina itu.

Bagaimanapun, Ketua Kastam Lapangan Terbang Manila, Carmelita Talusan berkata, individu terbabit berjaya melarikan diri sebelum ditahan pihak berkuasa.

“Kami mengesan haiwan itu disembunyikan dalam beg selepas melalui mesin pengimbas. Kami tidak sangka haiwan yang dibawa ini mencecah 1,530 ekor.

“Anggota kastam yang mengendalikan kes ini cuba untuk tidak mencederakan haiwan terbabit selepas diikat dengan pita pelekat,” katanya.

Rampasan itu adalah yang terbaru oleh pihak berkuasa membabitkan cubaan menyeludup hidupan liar di lapangan terbang ibu kota Filipina. – AFP

64