Penyanyi Prodigy ditemui mati

KEITH Flint ditemui mati di rumahnya di Essex dipercayai membunuh diri. – Foto Google

LONDON: Penyanyi kumpulan rock terkenal Prodigy, Keith Flint ditemui mati di rumahnya di Essex dipercayai membunuh diri.

The Sun melaporkan, Flint yang berusia 49 tahun ditemui mati pada jam 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas polis dan pasukan paramedik dipanggil ke rumahnya.

Seorang anggota kumpulan itu, Liam Howlett memberitahu, Flint dipercayai membunuh diri.

Terkenal dengan fesyen rambut pelik dan persembahan bertenaga di pentas, ikon muzik 90-an itu baru membuat persembahan di New Zealand pada bulan lalu, sebahagian konsert jelajah kumpulan berkenaan yang dijadualkan hingga Mei ini.

Prodigy yang ditubuhkan pada 1990 terkenal dengan lagu Firestarter sekali gus mengangkat Flint sebagai ikon.

Album The Fat of the Land yang dikeluarkan kumpulan itu pada 1997 menjadi album paling laris dan turut tercatat dalam Buku Rekod Dunia Guinness sebagai album paling cepat terjual di dunia. – Agensi

197