Esscom hargai kecemerlangan 39 anggota, pegawai

Gambar Eastern Sabah Security Command -Esscom

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah memberikan penghargaan kepada 39 pegawai dan anggota keselamatan yang telah berjaya membanteras beberapa aktiviti penyeludupan di kawasan pantai timur Sabah.

Komander Esscom DCP Datuk Hazani Ghazali berkata usaha itu sebagai mengiktiraf peranan serta kejayaan barisan hadapan Esscom yang sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman pantai timur Sabah sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman keselamatan termasuk daripada ancaman aktiviti penyeludupan barang-barang kawalan dan bersubsidi sepanjang suku tahun pertama tahun 2019.

“Pegawai dan anggota keselamatan itu terdiri 13 pegawai dan anggota daripada Pasukan Polis Marin Tawau, tujuh anggota daripada Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, 18 anggota daripada Markas Angkatan Tugas Bersama 2 Regimen Askar Melayu Diraja dan seorang dari Ibu pejabat Polis Lahad Datu,” katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan bulanan Esscom di Dewan Serbaguna Pasukan Polis Marin, hari ini.

Turut hadir dalam perhimpunan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Noor Alam Khan A Wahid Khan, Timbalan Komander Esscom Brig Jen Hamzah Ali dan Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor.

Beliau berkata selama hampir enam tahun penubuhan Esscom, banyak kejayaan yang telah dicapai pasukan keselamatan yang diterajui dan ditunjangi oleh Esscom bagi memastikan perairan pantai timur Sabah sentiasa terkawal dan selamat.

Pada suku tahun pertama tahun 2019 ini, katanya, pasukan Esscom telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 2,256 karton bir jenama Hite di Kalabakan melalui inisiatif pelaksanaan pemeriksaan daratan atau ‘road check points’ (RCP) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM146,640.

“Selain itu, pada 27 Januari lalu, pasukan kita juga telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barang-barang kawalan tanpa permit di bawah Akta Kastam 1967 di kawasan Dermaga Pelabuhan Tawau dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1 juta lebih.

“Kejayaan lain ialah menahan 15 orang Bajau Laut Filipina dan berjaya membanteras penyeludupan 10,000 liter minyak petrol di perairan Semporna, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM19,500,” katanya.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh komponen keselamatan yang telah bekerja keras bagi memastikan kawasan perairan pantai timur Sabah ini bebas daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk membanteras aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan operasi Esscom merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Esscom dengan kerjasama semua pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik membanteras aktiviti penyeludupan.

Dalam pada itu, Esscom amat menghargai perhatian yang diberikan oleh kerajaan Pusat dan negeri termasuk mengadakan lawatan kerja ke pejabat Esscom bagi melihat sendiri cara kerja dan kaedah pengoperasian Esscom di Zon Selamat Timur Sabah.

“Saya membayangkan bahawa lawatan-lawatan ini akan memberikan isyarat positif dan merupakan sebahagian daripada keprihatinan pihak kerajaan terhadap Esscom,” katanya. – Utusan Borneo

HAZANI menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima dari pasukan polis marin. – Gambar Eastern Sabah Security Command -Esscom
Gambar Eastern Sabah Security Command -Esscom
412