Harga RON97 naik, RON95, diesel kekal

HARGA runcit petrol RON97 naik lima sen seliter iaitu daripada RM2.38 seliter kepada RM2.43 seliter manakala, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataannya berkata, harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 2 sehingga 8 Mac mengikut penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Februari lalu, had pengekalan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter.

“Pengurangan paras harga runcit bagi produk petrol RON95 ini selaras dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 2 hingga 8 Mac masing-masing sepatutnya RM2.13 seliter dan RM2.38 seliter.

“Bagaimanapun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *