Kota Belud isytihar bencana alam kemarau

Kawasan tanah kering dan merekah berikutan cuasa panas dan kekurangan hujan di Sabah ketika ini. Foto Arkib NSTP

BERIKUTAN cuaca panas dan ketiadaan hujan lebih dua minggu lalu, Pejabat Daerah Kota Belud semalam, mengisytiharkan bencana alam kemarau di daerah berkenaan.

Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam berkata, sebuah kampung turut terjejas iaitu Kampung Puhus di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang bergantung sepenuhnya kepada air graviti.

“Setakat ini hanya satu kampung terjejas iaitu Kampung Puhus yang mempunyai 34 rumah atau lebih 200 penduduk dan terletak kira-kira 23 kilometer (km) dari pekan.

“Kampung ini bergantung sepenuhnya kepada air graviti. Bagaimanapun, ketiadaan hujan lebih dua minggu lalu, menyebabkan kawasan tadahan air graviti terjejas,” katanya hari ini.

Pengisytiharan bencana alam kemarau bagi Daerah Kota Belud dibuat oleh Pejabat Daerah Kota Belud melalui Pegawai Daerah Kota Belud, pada jam 3 petang semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Gari berkata, penghantaran bekalan air yang pertama ke kampung itu sudah mula dilakukan petang semalam.

“Kita akan membuat penghantaran air dalam dua hingga tiga kali seminggu ke Kampung Puhus.

“Selain menghantar air ke Kampung Puhus, kita turut menerima permintaan daripada sebuah sekolah menengah untuk menghantar bekalan air hari ini. Mungkin ini untuk keperluan asrama,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Gari tidak menolak kemungkinan lebih banyak lagi kampung di daerah itu akan terjejas akibat musim kemarau ini.

“Jika kemarau berterusan dan tiada hujan dalam beberapa hari ini, kita menjangkakan lebih banyak lagi kampung akan menghadapi masalah air,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *