“Aku nak hisap rokok”

Vladimir cuba keluar wad untuk menghisap rokok. Foto Daily Mail

KAZAN (Russia): Seorang lelaki yang menunggu untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini selepas pisau tercacak di belakangnya dirakam keluar dari wad kecemasan semata-mata untuk menghisap rokok.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Vladimir, 34, dilaporkan ditikam di bahagian belakangnya selepas bergaduh di sebuah bar.

Vladimir kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital di sini tetapi ketika menunggu rawatan lelaki itu yang hanya berseluar dalam berjalan ke luar wad untuk menghisap rokok.

Satu rakaman video yang dirakam seorang jururawat menunjukkan Vladimir berjalan perlahan-lahan menuju keluar wad.

Seorang jururawat lelaki kemudiannya bertanya kepada lelaki itu, “Kamu mahu ke mana? Kamu sudah gila? Di luar itu bersalji,”.

Lelaki itu berpaling dan berkata, “Saya mahu menghisap rokok,”.

Vladimir yang masih mengalami pendarahan akibat kecederaan itu hanya kembali ke dalam wad selepas jururawat berkenaan memberi amaran, “Kamu akan mati kalau tidak kembali ke sini,”.

Seorang jurucakap hospital mengesahkan Vladimir menjalani pembedahan untuk mengeluarkan pisau berkenaan dan keadaannya kini stabil. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *