Bunuh ibu kerana ‘jajan’

Edian Saputra ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai membunuh ibunya.

PALEMBANG: Akibat berang kerana tidak diberikan wang untuk membeli makanan ringan, seorang lelaki sanggup bertindak kejam apabila memukul kepala ibunya beberapa kali dengan batang kayu hingga mati.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Muara Dua, Ogan Komering Ulu Selatan itu, Marlina, 40, ditemui mati kelmarin dengan pendarahan di kepala akibat dipukul.

Tribun News melaporkan, kejadian itu dipercayai berpunca apabila suspek yang dikenali sebagai Edian Saputra, 23, meminta wang daripada ibunya untuk membeli makanan ringan.

Bagaimanapun, Marliana enggan memberikan wang berkenaan dan wanita itu juga turut memarahi anaknya kerana tidak bekerja.

Akibat berang kerana tidak diberikan wang, Edian terus mengambil sebatang kayu dan terus memukul belakang kepala ibunya yang membasuh baju di bilik air.

Pukulan yang kuat itu menyebabkan mangsa rebah dan suspek dilaporkan terus memukul kepala ibunya beberapa kali hingga mati.

Marliana ditemui dalam keadaan berlumuran darah di depan pintu bilik air oleh seorang jiran yang datang ke rumah itu selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong.

Bagaimanapun, pasukan perubatan yang datang tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala. – Agensi