Sabah akan cepat membangun dipimpin parti tempatan

Maximus bersama beberapa pemimpin PBS menggaul Yee Sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PBS di Sandakan.

SANDAKAN: Sabah akan lebih mudah mencapai matlamat pembangunannya jika dipimpin oleh parti berasal dari negeri ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata parti itu berpendapat negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan mana-mana parti yang tertakluk kepada perundangan Pendaftar Pertubuhan (ROS) boleh menubuhkan parti dan membuka cawangan jika dibenarkan di bawah Perlembagaan.

Bagaimanapun, mengulas mengenai hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk masuk ke Sabah, katanya, peluang untuk membangunkan negeri ini adalah lebih besar jika dipimpin sendiri oleh rakyat Sabah menerusi platform parti asal atau parti tempatan.

“Memang negara ini bebas untuk berpersatuan dan menubuhkan cawangan jika ia diluluskan oleh ROS.

“Namun begitu, bagi PBS, kami berpandangan lebih elok jika rakyat Sabah sendiri bersatu-padu untuk memperjuangkan nasib mereka.

“Lebih besar (kesannya) jika rakyat Sabah sendiri memimpin (melalui) parti asal dari Sabah seperti PBS, maka lebih senang kita memajukan dan mencapai matlamat pembangunan (negeri),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PBS di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Maleh dan Datuk Yee Moh Chai serta Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU berkata, parti itu tidak tertakluk kepada pandangan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk masuk ke Sabah, sebaliknya persefahaman dengan WARISAN mengenai isu melebarkan sayap ke Sabah bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.

Mohd Shafie baru-baru ini menyatakan semula pendirian agar BERSATU tidak masuk ke Sabah, sebaliknya membiarkan WARISAN memberi tumpuan di negeri ini manakala BERSATU terus mengukuhkan kedudukan di Semenanjung.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor menyatakan keyakinan beliau bahawa BERSATU akan melebarkan sayapnya ke Sabah walaupun tidak dipersetujui pemimpin WARISAN. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *