Puluhan bungkusan ganja terdampar di pantai

Gibraltar (Britain): Sepasukan polis yang berkejar ke pantai selepas menerima panggilan kecemasan dari sebuah bot yang karam terkejut apabila menemui puluhan bungkusan besar berisi ganja yang terdampar di pantai, minggu lalu.

Mail Online melaporkan, dalam kejadian pada Sabtu lalu, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 4 pagi (waktu tempatan) dari sebuah bot getah yang hampir karam di Laut Mediterranean.

Ketika pengawal pantai Sepanyol menyelamatkan tiga penumpang bot itu dan membawa mereka ke sebuah hospital di Algericas, polis Britain membuat pemeriksaan di pantai.

Anggota polis itu menemui puluhan bungkusan besar berwarna biru yang penuh dengan dadah jenis ganja.

Pihak polis Gibraltar tidak dapat mengesahkan jumlah bungkusan itu yang dirampas serta beratnya.

Bagaimanapun, berdasarkan gambar dan saksi yang berada di lokasi kejadian, terdapat sekurang-kurangnya 30 bungkusan besar yang mengandungi dadah berkenaan.

Gibraltar adalah wilayah Britain yang bersempadan dengan Sepanyol. Wilayah itu sudah lama menjadi laluan penyeludupan dadah dari seluruh dunia sama ada datang terus dari Sepanyol atau Afrika.

Maghribi yang terletak kira-kira 14 kilometer merentasi Laut Mediterranean dikenal pasti sebagai punca kemasukan ganja ke Eropah.

Dalam kejadian terbaru ini, penyeludup kemungkinan mahu masuk ke Sepanyol sebelum bot getah mereka terbalik. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *