Brazil bola sepak, internet Korea paling laju

Bangunan termahal dunia, Abraj Al Bait di Makkah serta dua pemain terbaik dunia, Lionel Messi (kanan atas) dan Maradona. Foto Agensi

SETIAP negara mempunyai keunikannya tersendiri, sama ada bangunan tertinggi atau kehebatan penduduknya.

Berikut antara keunikan negara di dunia ini yang disusun mengikut abjad oleh Daily Mail.

Arab Saudi

Bangunan termahal, Abraj Al Bait yang dibina dengan kos £11.5 bilion (RM61.4 bilion). Abraj Al Bait ialah kumpulan pencakar langit milik kerajaan yang dibina berhampiran Masjidil Haram di Makkah.

Ia terletak di atas tapak Kubu Ajyad yang dibina era dinasti Uthmaniah pada 1780 dan dirobohkan pada 2002.

Argentina

Negara di Amerika Selatan ini adalah pengeksport terbesar pemain bola sepak, iaitu 2,204. Ia menghasilkan dia pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan Diego Maradona.

Belanda

Penduduk tertinggi dunia, purata 1.837 meter bagi lelaki dan wanita, 1.693 meter.

Brazil

Pencapaian terbaik dalam sejarah Piala Dunia dengan lima kali menjadi juara (1958, 1962, 1970, 1994, 2002) dan dua kali naib juara (1950, 1998).

Brazil juga pengeluar kopi terbesar dunia dengan pengeluaran mencapai 2,249,010 tan metrik setahun, membekalkan satu pertiga bekalan kopi dunia yang dipegang selama 150 tahun.

Britain

Ketua negara tertua, Queen Elizabeth yang kini berusia 92 tahun.

Sistem penerbangan paling sibuk di dunia dengan 146,685,710 penumpang setahun menggunakan lapangan terbang Heathrow, Gatwick, Stansted, Luton, City dan Southend.

Stesen kereta api paling sibuk iaitu Clapham Junction di London dengan satu kereta api setiap 13 saat ketika waktu puncak dan satu kereta api setiap 30 saat di luar waktu puncak.

China

Sebagai pengeksport paling berjaya di dunia, tidak mengejutkan apabila China mencatat keseimbangan akaun semasa terbaik dunia iaitu AS$213.8 bilion.

China juga pengeluar tembikai terbesar dunia dengan pengeluaran 70 juta tan setahun.,

Czech

Paling banyak minum bir per kapita, 148.6 liter setahun dan pengambilan alkohol asli terbesar, 14.1 liter setahun.

India

Jumlah pengguna Facebook terbesar dunia pada 2017 (294 juta, meningkat 194 juta berbanding 2016).

Jepun

Jangka hayat terpanjang dunia iaitu 84.6 tahun (berdasarkan statistik 2012).

Korea Utara

Pemimpin paling muda, diktator Kim Jong-un berusia 32 tahun.

Hutang negara paling rendah, 0.4 peratus berbanding KDNK. Jumlah tentera aktif paling ramai iaitu 47.8 bagi setiap 1,000 penduduk.

Korea Selatan

Sambung internet terpantas dunia dengan kelajuan purata 25.3 Mb sesaat menjadikan negara paling ramai mengakses internet melalui telefon mudah alih iaitu 84.1 peratus.

Kongo

Negara paling miskin di bumi dengan 95.15 peratus penduduknya hidup dengan pendapatan £1.50 (RM8) sehari.

Laos

Negara paling teruk dibom. Antara 1964 hingga 1973, dua juta tan bom digugurkan di Laos oleh Amerika Syarikat.

Sebagai perbandingan, 2.1 juta tan bom digugurkan di Eropah dan Asia sepanjang Perang Dunia Kedua.

Malaysia

Bangunan berkembar tertinggi dunia, Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter yang siap pada 1996. Antara 1998 hingga 2004, ia menjadi bangunan tertinggi dunia sehingga bangunan Taipei 101 di Taiwan siap dibina.

Pemimpin paling tua dunia, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berusia 93 tahun.

Monaco

Paling padat penduduk, 47,850 orang bagi setiap kilometer persegi.

Mongolia

Paling kurang penduduk dengan 1.92 orang bagi setiap kilometer persegi. Sebahagian besar tanah Mongolia tidak sesuai untuk pertanian. Sebanyak 45 peratus penduduknya tinggal di ibu negara, Ulaanbaatar.

Pakistan

Jumlah kematian bayi ketika dilahirkan tertinggi dunia, iaitu 433,800 kematian setiap tahun.

Papua New Guinea (PNG)

Bahasa percakapan paling banyak di sesebuah negara, iaitu 832 bahasa. Ia mempunyai empat bahasa rasmi iaitu Inggeris, Tok Pisin, Hiri Motu dan Bahasa Isyarat PNG.

Sebahagian besar penduduk menggunakan Tok Pisin yang berdasarkan bahasa Inggeris campuran. Hanya dua peratus menggunakan bahasa Inggeris.

Perancis

Negara paling ramai menerima pelancong setiap tahun, dengan tahun lalu, 86.9 juta melawat Perancis diikuti Sepanyol, Amerika Syarikat, China dan Itali.

Perancis juga pengeksport minyak wangi terbesar dunia bernilai £3.2 bilion (RM17 bilion) tahun lalu.

Qatar

Kadar kematian terendah, 1.53 kematian bagi setiap 1,000 orang.

Russia

Paling banyak zon masa, iaitu sembilan. Batalion kereta kebal terbesar dunia dengan 20,550 unit.

Sri Lanka

Kadar bunuh diri tertinggi dengan 15 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Swaziland

Jangka hayat terpendek iaitu 32 tahun.

Amerika Syarikat

Jumlah banduan paling ramai di dunia, 760 banduan bagi setiap 100,000 penduduk. Ia juga pengeluar keju terbesar dunia iaitu 5.9 juta tan pada 2018.

Venezuela

Pencapaian terbaik dalam empat pertandingan ratu cantik iaitu Miss Universe, Miss World, Miss International dan Miss Earth dengan 21 kemenangan (sehingga 2014). – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *