UMNO Sabah sedia terima bekas pemimpin, ahli – Bung Moktar

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah masih mengalu-alukan kemasukan semula bekas pemimpin dan ahlinya yang keluar meninggalkan parti itu sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kepemimpinan UMNO negeri sentiasa membuka pintu kepada rakan-rakan lama, lebih-lebih lagi dengan keadaan mereka yang masih bebas tanpa parti ketika ini.

Katanya, bekas pemimpin terbabit bagaimanapun perlu melalui proses biasa disebabkan kedudukan mereka sebelum ini sudah pun diisi oleh pemimpin baharu.

“Sebetulnya ada (bekas ahli yang tampil menemuinya), ada yang segan tetapi selepas lama menunggu dan seperti dipermainkan, ada yang sertai parti lain.

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kata tidak akan masuk Sabah, jadi mereka (bekas pemimpin UMNO Sabah) macam terperangkap,” katanya kepada media selepas mesyuarat tertutup bersama sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Yakub Khan dan Setiausaha UMNO Sabah, Jeffry Ariffin.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah sedang menjalankan proses pembersihan untuk mengenalpasti jumlah ahli dan cawangan di setiap bahagian.

Katanya, proses itu kini hampir 80 peratus siap dan pihaknya mendapati UMNO Sabah kekal memiliki keahlian UMNO paling ramai di negara ini.

“Hasil pembersihan ini, kita dapati hanya 10 peratus saja ahli yang meninggalkan parti. Setakat ini, UMNO Sabah mempunyai 5,187 cawangan yang masih aktif membabitkan 565,064 ahli di seluruh negeri.

“Berdasarkan keadaan ini, kita yakin UMNO masih relevan dan diterima rakyat,. Lebih-lebih lagi dengan kuasa autonomi yang diberikan kelak (kepada UMNO Sabah),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik di negeri ini termasuk Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

“Kita perkuatkan dulu parti sebelum membuat keputusan mencari rakan gabungan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Fokus utama adalah kuatkan jentera parti, kita masih menyusun struktur UMNO Sabah,” katanya. – Berita Harian

243