IBARAT pelanduk dua serupa, begitulah yang boleh dikatakan kepada seorang lelaki apabila dikatakan mirip Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Bukan itu saja, suara dan raut wajah dengan gaya rambut dan potongan misainya saling tak tumpah dengan seniman agung yang disegani itu.
Lelaki dengan nama Fairuz Misran, 34, menjadi viral apabila mendendangkan lagu ‘Maafkan Kami’ nyanyian P Ramlee daripada filem Pendekar Bujang Lapuk.
Rakaman video berdurasi lima minit enam saat yang viral sejak kelmarin, menunjukkan gaya Fairuz seakan P Ramlee.
Malah, nyanyiannya ‘Maafkan Kami’ salin tak tumpah dengan seniman itu.
Fairuz anak kelahiran Sandakan dan dibesarkan di Kimanis, dekat Kota Kinabalu, berkata, video itu dimuat naik di Facebook live miliknya pada Disember tahun lalu.
“Ada beberapa video saya buat dan video yang tular itu saya muat naik dalam akaun Facebook live saya pada Disember 2018… tidak sangka pula ia menjadi viral sehingga kini.
“Saya amat teruja, lebih-lebih lagi ada peminat menghubungi dan mahu menemui saya di Labuan.
“Tapi, sebelum video itu tular, ada beberapa pencipta lagu ingin menemui dan bercadang untuk membuat lagu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Fairuz yang kini menetap di Labuan berkata, dia tidak sehebat P Ramlee dan menjadikan legenda itu sebagai idolanya.
“Saya amat meminati Allahyarham Tan Sri P Ramlee sejak usia enam tahun apabila arwah bapa saudara sering menyanyikan lagu-lagu Allahyarham. Sejak itu, saya mula menyukai lagu-lagu Allahyarham.
“Pada 2002, ketika itu, usia 17 tahun saya menyertai satu pertandingan Bintang P Ramlee di Membakut dan mendapat tempat pertama.
“Ketika itu, saya mendendangkan lagu ‘Sabarudin Tukang Kasut’. Sejak itu ramai kawan memberitahu suara saya seakan P Ramlee dan suara saya boleh pergi jauh lagi.
“Sejak itu, saya giat menyanyi. Sebab keluarga bukan senang. Untuk cari duit saya akan menyertai mana-mana pertandingan nyanyian Bintang P Ramlee. Namun pada 2003, saya berhenti kerana fokus pada kerja,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Noor Munira Mohamed, pada 2007.
Menceritakan lebih lanjut, Fairuz berkata, pada 2008 dan 2009, dia aktif semula menyanyi dan mengikuti pertandingan Bintang P Ramlee.
“Pada 2010, saya memenangi Johan Bintang P Ramlee Zon Sabah dan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan.
“Ketika itu, saya hanya layak ke peringkat akhir Bintang P Ramlee. Tetapi saya tidak putus asa dan memperbaiki kelemahan daripada taktik nyanyian dan gaya penampilan.
“Akhirnya pada tahun 2012 saya dinobatkan sebagai Johan Bintang P Ramlee menerusi lagu ‘Barang Yang Lepas Hai Jangan Dikenang’ dan persembahan duet menerusi lagu ‘Hancur Badan Dikandung Tanah’,” katanya.
Menurutnya, pelbagai gelaran yang diterimanya sejak menyanyikan lagu P Ramlee.
“Selain Ramlee, ada yang memanggil saya Abang Jamil, Do… saya okey dengan gelaran itu,” katanya.
Fairuz, kini berniaga membekalkan makanan di kapal laut, mengakui masih aktif menyanyi dengan menerima undangan membuat persembahan di sekitar Kota Kinabalu dan beberapa di Kuala Lumpur.
“Saya masih aktif menyanyi dan sebulan dalam satu atau dua kali membuat persembahan di sekitar Kota Kinabalu dan beberapa kali di Kuala Lumpur.
“Setiap nyanyian dalam persembahan, semuanya lagu-lagu Allahyarham P Ramlee.
“Insya-Allah, jika ada peluang dan ruang saya juga ingin menerbitkan album sendiri kerana sehingga kini saya masih belum ada album sendiri,” katanya. – Haran Metro