SYDNEY: Sebatang sungai utama di timur Australia yang dilanda kemarau dipenuhi hampir sejuta bangkai ikan mereput, malah pihak berkuasa menjangkakan lebih banyak jumlahnya meningkat.
Tebing Sungai Murray-Darling dipenuhi bangkai ikan mereput dengan pihak berkuasa menganggarkan ratusan ribu haiwan itu mati, malah menganggarkan jumlahnya hampir sejuta.
Cuaca panas melampau yang dijangka untuk minggu ini juga dibimbangi mengeruhkan keadaan, kata kerajaan New South Wales. Paras air yang menurun dan cuaca panas menggalakkan penumbuhan alga yang bukan saja menyebabkan ikan kekurangan oksigen, malah mengeluarkan toksin.
Ketua menteri negeri itu, Niall Blair berkata: “Kami menjangkakan lebih banyak ikan mati di kawasan pedalaman di barat serta utara Tablelands minggu ini.”
Kejadian itu mencetuskan kemarahan dan dakwaan terhadap siapa yang patut dipertanggungjawabkan.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Scott Morrison menyatakan kemarau sebagai puncanya selain mempertahankan polisi yang didakwa penduduk tempatan menyebabkan kerosakan serta pencemaran sistemik sistem sungai.
Namun sejak bertahun lalu, saintis memberi amaran terhadap amalan mengeluarkan jumlah air yang banyak untuk pelbagai tujuan termasuk pengairan. – AFP