Polis Siasat Telefon Bimbit Suspek Yang Ditembak Mati Di Telipok Ria – PJP SABAH

KOTA KINABALU: Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti seorang lelaki yang bertindak menjadikan seorang budak perempuan berumur dua tahun sebagai tebusan di Taman Telipok Ria, Tuaran, kelmarin, berdasarkan penemuan telefon bimbit yang dipercayai milik suspek.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata sebaik sahaja suspek berusia 30-an itu ditembak mati, polis yang menjalankan pemeriksaan pada tubuh suspek menemukan sebuah telefon bimbit jenama Ding Ding pada badan suspek.

“Pihak forensik polis kini membuat analisa dari senarai panggilan keluar dan masuk dari telefon bimbit yang dijumpai.

“Selain itu, pihak polis juga mengambil cap jari suspek untuk dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesan sama ada suspek mempunyai pendaftaran bagi sebarang dokumen pengenalan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Menurut Omar, motif kejadian masih tidak diketahui tetapi pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif tindakan suspek yang menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan.

Ditanya mengenai keadaan kanak-kanak terbabit, Omar mengesahkan mangsa hanya mengalami cedera luka pada leher akibat dari hirisan pisau yang digunakan suspek dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas dalam keadaan stabil.

Suspek mendukung kanak-kanak tersebut sambil mengacukan pisau kelehernya sebelum ditembak mati oleh polis. Gambar media sosial

Jelas Omar, pihak polis juga telah bertindak mengikut prosedur dalam menangani kejadian itu semalam sambil berkata rundingan awal telah dibuat melibatkan anggota polis dan orang awam sebagai penterjemah Bahasa Sulok untuk berkomunikasi dengan suspek.

“Namun proses rundingan itu gagal dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap suspek apabila dia bertindak hendak melontar kanak-kanak itu dari tingkap rumah ditingkat empat itu,” tambahnya.

Jelas Omar, ketika rundingan dibuat suspek ada menyebut nama ‘Rashid’ namun sehingga kini pihak polis belum dapat mengenal pasti siapa individu yang dimaksudkan suspek dan apa kaitannya dalam kes ini.

“Penduduk dikawasan sekitar perumahan itu juga tidak mengenali suspek atau individu yang dikenali sebagai Rashid itu. Namun, kita akan teruskan siasatan.” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menafikan beberapa dakwaan mengenai kejadian itu antaranya empat jari mangsa dipotong dan juga kesan darah yang ada pada mangsa adalah kesan tembakan yang dilepaskan sebaliknya ia hanyalah luka hirisan pisau pada leher mangsa. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *