Shafie pelawa bekas pemimpin UMNO, BN bersama bangunkan Sabah

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir pada Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian di Kota Belud, hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap bekas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi wakil rakyat Bebas agar dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah dan rakyat negeri ini.

Mohd Shafie berkata, walaupun mengakui mereka ada pendirian masing-masing, namun beliau berharap dapat bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

“Saya sedar mereka ada pendirian tetapi dalam masa sama saya berharap mereka dapat bersatu untuk bekerjasama dalam naungan kerajaan yang ada hari ini.

“Bagi kita, apa yang penting membantu menjayakan agenda kerajaan, bukan WARISAN (Parti Warisan Sabah) UPKO (Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu), DAP atau PKR… tetapi untuk memastikan harapan rakyat dapat dibangunkan.

“Oleh itu, kita pelawa mereka, jika boleh walaupun mereka ada pendirian masing-masing, tetapi yakin atas kepentingan rakyat, saya harap mereka buat keputusan yang baik,” katanya pada Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Sementara itu, Mohd Shafie sekali lagi mengulangi agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak masuk ke negeri ini.

“Walaupun begitu, saya tetap bekerjasama dengan BERSATU dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tetapi, berilah saya peluang mentadbir Sabah dan biarlah BERSATU di Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mahu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta fahaman politik untuk terus bekerjasama dan dalam membangunkan Sabah yang kini diterajui kerajaan baharu.

“Saya tahu harapan rakyat tinggi… mahu peluang pekerjaan dan harga barang turun, tetapi ia ambil masa dan beri saya peluang untuk melakukannya. Saya berharap dapat membangunkan Sabah pada tahun ini dan resepinya adalah perlu ada kerjasama serta permuafakatan dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Tidak ada negara atau negeri yang dapat dibangunkan atau dimajukan jika rakyat berpecah. Saya juga meminta jangan ukur saya dengan pentadbiran yang baru berusia kira-kira tujuh bulan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *