Mangsa tsunami di pulau terpencil diselamatkan

CARITA: Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia bertungkus-lumus menyelamatkan komuniti dari beberapa pulau terpencil, susulan bencana tsunami gunung berapi yang sudah meragut lebih 400 nyawa.

KEADAAN kenderaan dan bangunan yang musnah susulan bencana tsunami di Anyer, Serang. – Foto AFP

Bagaimanapun, hujan lebat menjejaskan usaha mereka dan mendatangkan lebih banyak kesukaran di wilayah itu, ketika pihak berkuasa memberi amaran bahawa wujud kemungkinan ombak pembunuh di kawasan terbabit.

Agensi bencana mengingatkan penduduk supaya menjauhi pesisir pantai, ketika wujud aktiviti baharu di gunung berapi Anak Krakatau yang berada di tengah Selat Sunda antara kepulauan Jawa dan Sumatera, ia mungkin mencetuskan tsunami baharu.

Agensi itu berkata, angin membawa debu dan pasir dari Anak Krakatau ke beberapa kawasan berhampiran seperti Cilegon dan Serang, Jawa. Penduduk juga dinasihatkan supaya memakai topeng atau cermin mata di luar rumah.

Difahamkan, sebahagian daripada kawah gunung itu runtuh selepas letusan dan jatuh ke dalam laut, ia mencetuskan gelombang ombak maut, malam Sabtu lalu.

Ia melanda tanpa amaran, memusnahkan beberapa pantai popular selain menenggelamkan banyak hotel pelancong dan komuniti pesisir pantai sehingga menyebabkan banyak kematian dan kemusnahan.

Agensi bencana itu meningkatkan jumlah kematian kepada 430 orang, semalam, dengan 1,495 mangsa lain cedera dan 159 lagi hilang sementara hampir 22,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan. – AFP/Berita Harian Online

KEADAAN kenderaan dan bangunan yang musnah susulan bencana tsunami di Anyer, Serang.
110