Lelaki Tuntut ‘Hadiah’ RM1.4 Juta Ditahan Kastam Sabah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang kononnya berhasrat untuk menuntut ‘hadiah’ ditahan sepasukan pegawai kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah di salah sebuah pusat penghantaran kurier di sini, pada Jumaat lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Madrim Tasan (dua kiri) menunjukkan cara dadah jenis syabu yang disorokkan dalam paket teh cina sebelum disimpan dalam kotak lampin pakai buang bayi pada sidang media di Wisma Kastam Sabah, Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Madrim Tasan berkata lelaki warga tempatan berumur 38 tahun itu mendakwa untuk menuntut barang yang dikatakan sebagai hadiah daripada seseorang.

“Serbuan yang dibuat berdasarkan maklumat dan risikan ini telah menemukan barangan larangan disyaki dadah berbahaya iaitu ‘methaphetamine’.

Foto Kastam Sabah

“Dadah ini disorok pada paket teh cina berwarna kuning berjenama ‘Da Guan Yin’ dan diletakkan didalam beberapa kotak lampin pakai buang bayi sebelum tiba di pusat perkhidmatan kurier terbabit melalui udara dari Kuala Lumpur.,” katanya ketika sidang media di Wisma Kastam Sabah, hari ini.

Menurut Madrim, dadah jenis syabu yang dirampas dianggarkan seberat 27 kilogram dan nilai rampasan mencecah RM1.4 juta pada harga jualan.

“Suspek kini sedang ditahan reman sehingga 4 Januari bagi membantu siasatan,” tambahnya.

Kesalahan ini disiasat dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah berbahaya dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Dalam pada itu, Madrim turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawainya yang berjaya menumpaskan beberapa siri kes melibatkan dadah di negeri ini.

“Sebagai rekod pada tahun ini di seluruh Zon Sabah, pihak JKDM telah berjaya memperolehi sebanyak 13 kes melibatkan dadah iaitu sembilan kes tangkapan dan empat kes rampasan yang melibatkan nilai keseluruhan rampasan lebih RM9 juta.

“JKDM mengambil serius dalam usaha mematahkan sindiket penyeludupan dadah daripada masuk ke negeri ini khususnya dan menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus dengan dadah.” katanya. -SabahNewsToday

Foto Kastam Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *