UMNO Sabah masih kuat

KOTA KINABALU: UMNO Sabah masih kukuh, malah lebih kuat dengan barisan kepemimpinan baharu yang muda lagi bersemangat tinggi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau percaya UMNO Sabah akan kembali lebih kuat berbanding sebelumnya kerana perubahan kepemimpinan baharu yang rata-rata dalam kalangan orang muda.

Beliau berkata, apa yang penting bagi kepemimpinan baharu di negeri ini adalah lebih agresif turun padang untuk memperbetulkan kekeliruan mengenai hala tuju parti.

“Walaupun dari segi gambarannya UMNO Sabah lumpuh, tapi keadaan sebenar tidak begitu. Status setiap bahagian masih ada pemimpin tertinggi kekal seperti Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan sayap tiga pergerakan serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bahagian.

“Sokongan akar umbi juga masih kuat dan belum ada cawangan yang dibubarkan setakat ini,” katanya pada sidang media selepas pertemuan tertutup dengan pimpinan tertinggi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan serta Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Jainab Ahmad.

Ismail Sabri berkata perbincangan mengenai pimpinan badan perhubungan baharu akan dibincangkan dan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Dalam masa sama, kita minta semua jentera peringkat Bahagian menjalankan tugas termasuk memanggil mesyuarat khas di Bahagian masing-masing.

“Kita perlu terus memantapkan parti sebagai pembangkang yang berkesan dan bekerja keras merampas kembali Putrajaya serta Sabah,” katanya.

Menurutnya, proses pemberian autonomi kepada UMNO Sabah juga akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kenyataan Pemuda UMNO Sabah yang mahu Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, Ismail Sabri enggan mengulas dan mendakwa belum membaca kenyataan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam pertemuan hari ini, UMNO Sabah masih memberikan sokongan penuh kepada pemimpin tertinggi parti berkenaan. – Berita Harian

113