Persidangan Khas DUN Lulus Penamatan Had Tempoh Perkhidmatan TYT

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika menghadiri Persidangan Khas Kedua Penggal Pertama DUN Sabah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Had tempoh dua penggal atau lapan tahun yang diperkenalkan 31 tahun lalu bagi seseorang memegang jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) kini ditamatkan.

Penamatan itu dibuat setelah Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2018 untuk menghapuskan Fasal 3 dalam Perkara 2 Perlembagaan Negeri Sabah mendapat kelulusan lebih dari dua pertiga ahli dalam persidangan khas Dewan Undangan Negeri hari ini.

Fasal 3 yang menyatakan seseorang itu tidak boleh memegang jawatan TYT lebih daripada dua penggal telah ditambah dalam Perkara 2 Perlembagaan Negeri melalui satu pindaan pada tahun 1987 semasa era Kerajaan PBS.

Pindaan hari ini yang juga dilihat mengembalikan Perkara 2 Perlembagaan Negeri balik kepada asal (tiada had tempoh khidmat TYT) diluluskan secara undi belah bahagi mengikut panggilan nama setiap ahli Dewan.

Seramai 45 ahli telah menyokong dan 15 tidak bersetuju manakala lima lagi tidak hadir.

Lima ahli yang dicatat tidak hadir hari ini ialah Tan Sri Musa Aman (Sungai Sibuga), Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Bobbey Suan (Nabawan), Datuk Ariffin Arif (Membakut) dan Datuk Masidi Manjun (Karanaan).

Masidi pada awalnya telah mengambil bahagian dalam perbahasan namun beliau tidak berada dalam Dewan semasa pengundian dijalankan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa ucapan pengulungan beliau berkata tujuan pindaan ialah mengembalikan maksud asal perkataan di bawah Annex B, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana tidak meletakkan had tempoh perkhidmatan TYT.

Ini adalah antara perubahan yang dibuat oleh Kerajaan negeri baharu dalam usaha mengembalikan perkataan asal MA63 dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Menurutnya, beliau telah membentuk satu jawatankuasa yang diketuai oleh mantan Peguam Besar Negeri Datuk Steven Foo untuk mengkaji semula perlembagaan dan ordinan-ordinan.

“Sabah mempunyai banyak hak yang kita perlu lindungi bukan sahaja dari segi kedaulatan tetapi juga hak-hak rakyat,” katanya.

“Ketika ini kita perlu membuat perubahan memandangkan institusi TYT adalah suatu simbol yang penting bagi kita.

“Menghadkan penggal perkhidmatan akan merendahkan prestij institusi TYT ini,” katanya

Mohd Shafie juga menolak dakwaan bahawa pindaan dibuat sebagai ganjaran kepada TYT sekarang Tun Juhar Mahiruddin kerana membenarkan beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei lalu.

Beliau membuat sumpah dalam Dewan bahawa tiada “rundingan” yang telah dibuat antara beliau dan Juhar.

Mohd Shafie menjelaskan bahawa perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri bukan berlandaskan atas pendapat TYT tetapi berdasarkan kepada majoriti yang beliau telah dapat ketika itu.

Katanya TYT tidak berpuas hati maka itulah beberapa Adun telah dipanggil menghadap untuk menentukan pendirian mereka sebelum keputusan dibuat.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, beliau berkata perlantikan TYT dengan Yang di-Pertuan Agong tidak sama.

Menurutnya, tempoh bagi Yang di-Pertuan Agong dihadkan kepada satu penggal (lima tahun) kerana ianya harus digilirkan antara 9 raja-raja melayu di Semenanjung seperti yang dipersetujui semasa kemerdekaan Tanah Melayu dengan pihak British.

Di Sarawak, tiada had tempoh perkhidmatan bagi TYT mereka.

“Apa yang penting kita lantik seseorang TYT bukan berlandaskan dengan tempohnya atau kaumnya semata-mata tetapi haruslah berlandaskan kepada kualiti yang ada.

“Kerana itu merupakan simbol dan satu kedudukan jadi harus boleh menjalankan tanggungjawab dengan sempurna,” katanya.

Mohd Shafie berkata pindaan ini adalah permulaan kepada berbagai perubahan undang-undang yang akan dibuat bermula tahun hadapan.

Perkara paling penting, katanya adalah meminda undang-undang supaya cara perlantikan ketua menteri menjadi lebih jelas dan tidak lagi dipertikaikan.

Untuk rekod, Tun Juhar, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, telah dilantik sebagai TYT pada 1 Januari 2011.-SabahNewsToday

274