‘Bukan tak mahu cakap Sabah’

ANDI pernah dianggap lupa diri apabila enggan bertutur menggunakan dialek Sabah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Andi Bernadee, 27, mengakui ada segelintir pihak yang menganggap dia sudah lupa diri apabila enggan bertutur menggunakan dialek Sabah.

Andi berkata, dia mengelak daripada bertutur dalam dialek itu, terutama dengan orang yang kurang dikenali kerana risau dianggap ‘kampung’.

Penyanyi yang popular dengan lagu Semalam Sahur Di Mana itu bagaimanapun mengakui, terkilan apabila ada pihak menyifatkan dia lupa asal usul sejak berpindah ke ibu negara pada 2005.

“Memang ada yang menganggap saya lupa diri kerana sudah jarang bercakap dialek Sabah.

“Saya sentiasa meletakkan diri ibarat masuk ke kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.

“Sebelum ini, saya pernah dipersenda gara-gara bercakap dialek Sabah, malah ada yang mengejek dengan gelaran menyakitkan.

“Tetapi, jika bertemu orang Sabah, semestinya saya akan menggunakan bahasa negeri kelahiran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video Satu Peluang di sini, semalam.

Bercakap mengenai lagu ciptaan Alif itu, Andi berkata, Satu Peluang yang mengangkat genre muzik reggaeton benar-benar melekat di jiwanya.

Kata Andi, lagu itu pada mulanya dihasilkan untuk dinyanyikan sekiranya dia membolosi peringkat akhir program realiti, Big Stage.

“Apabila tersingkir awal, sangka saya rakaman lagu itu tidak akan diteruskan. Namun, Warner Music mahukan saya merakamkan juga Satu Peluang kerana ia bersesuaian dengan karakter saya.

“Alhamdulillah, lagu itu mendapat maklum balas baik peminat. Sebelum ini, saya pernah merakamkan lagu genre berbeza, namun gagal mendapat perhatian. Mungkin juga genre yang dipilih itu bukan jiwa sebenar saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Andi memaklumkan, dia bakal membintangi sebuah filem, tetapi hanya akan berkongsi berita gembira itu apabila semuanya sudah dipersetujui.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *