Pesawat mendarat cemas atas lebuh raya

Pesawat kecil yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di tengah lebuh raya. FOTO Agensi

CALIFORNIA: Seorang bekas bintang besbol dianggap sebagai wira apabila berjaya melakukan pendaratan cemas di tengah lebuh raya selepas pesawat kecil dinaiki mengalami masalah teknikal dalam kejadian di California.

Kejadian berlaku pada Jumaat lalu apabila Ryan Mundo, 25, yang juga jurulatih penerbangan terpaksa mengemudi pesawat terbabit daripada pelatihnya berusia 36 tahun bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Satu rakaman video menunjukkan kejadian mencemaskan itu apabila pesawat menghampiri lebuh raya dan cuba mendarat menerusi beberapa kenderaan di hadapan dan di belakangnya.

Ia dirakam oleh seorang wanita yang menaiki kereta bersama suaminya sebelum melihat pesawat terbabit cuba mendarat.

“Suami berkata, dia cuba melakukan pendaratan cemas, jadi saya terus mengeluarkan telefon untuk merakamnya.

“Kami mendapat tahu pesawat dibawa pelatih juruterbang bersama jurulatihnya menghadapi masalah teknikal. Jurulatihnya terpaksa menerbangkan dan melakukan pendaratan,” katanya.

Dalam rakaman itu, kedengaran suara suaminya yang berkata: “Bahayanya, memang ini bukan sesuatu yang berlaku setiap hari.”

Mundo mendaratkan pesawat itu dengan lancar dan berjaya mengelak kediaman, kabel elektrik serta beberapa kenderaan yang melalui lebuh raya sibuk di El Cajon itu.

Sumber : Agensi

72