Biar Mahkamah Tentukan – Shafie Apdal

Mohd Shafie bercakap kepada pemberita semasa sidang akhbar tadi. Gambar SNT/Ehsan JKM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan keputusan berkaitan isu pelantikan ketua menteri yang sah adalah hak mahkamah.

“Biar mahkamah yang menentukannya.
Lagipun, kita ada perundangan.

“Pada dasarnya anda tahu apa yang kita tidak boleh putuskan. Saya fikir tidak perlu komen lanjut berkaitan perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas mendengar takimat berkaitan hala tuju Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (SESB) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Tenaga, Sains, Telnologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie.

Beliau berkata demikan ketika diminta mengulas mengenai prosiding Mahkamah Tinggi berhubung ketua menteri yang sah pada Khamis ini.

Sebelum ini, Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata bahawa  kemenangan bakal berpihak kepada Tan Sri Musa Aman jika tidak ada campur tangan daripada ‘tangan ghaib’.

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman permulaan terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie mencabar kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai ketua menteri pada 12 Mei lalu.

Selain itu, saman itu juga ingin mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah bahawa beliau (Musa) kekal ketua menteri yang sah mengikut undang-undang.

Pada 5 Jun lalu, Mohd Shafie mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman Musa atas alasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikan beliau namun telah ditolak oleh Hakim Datuk Yew Jen Kie.

Yew kemudian menetapkan 26 Okt sebagai tarikh untuk beliau membuat keputusan yang kemudiannya telah diawalkan sehari kepada 25 Okt jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, pegawai mahkamah memberitahu media hari ini bahawa keputusan tidak akan dibuat pada Khamis ini kerana mahkamah ingin mendengar hujah secara lisan daripada peguam kedua belah pihak.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *