Pencuri paling bodoh

Penjenayah, Chirag Patel membuat laporan polis mengenai kehilangan kenderaan yang dicurinya. Foto Agensi

LONDON: Seorang penjenayah yang menyewakan kereta mewah dicurinya melakukan kesilapan paling bodoh apabila membuat laporan polis mengenai kehilangan kenderaan itu seterusnya membawa kepada penangkapannya.

Chirag Patel menyimpan 19 kereta curi termasuk Porsche Cayenne, Range Rover serta Mercedes, malah lima daripadanya disimpan di garaj tingkat bawah di rumahnya di Croydon, selatan London.

Semua kereta terbabit berjaya dicuri tanpa menggunakan kunci di sekitar London antara Oktober 2012 hingga Januari 2015.

Dia yang berusia 39 tahun menghubungi polis apabila kehilangan sebuah Porsche dicuri pada 31 Januari 2015 sebelum didakwa di mahkamah.

Chirag didapati bersalah dan dipenjara lapan tahun di Mahkamah Crown Croydon pada Jumaat lalu, kerana melakukan konspirasi mengendalikan barang curi dan memiliki harta jenayah berhubung penemuan deposit wang tunai lebih 440,000 pound sterling (RM2.4 juta) yang tidak dapat dijelaskan.

Jurucakap polis metropolitan berkata, Chirag yang membuat laporan polis enggan memberi alamat rumahnya sebaliknya memberi alamat rumah ibu bapanya.

“Namun dia akhirnya memberi alamat rumah sendiri sebelum polis menyiasat dan menemui kereta mewah di garaj bawah. Pegawai mengenal pasti salah sebuah kereta mempunyai nombor plat sama seperti yang terdapat pada kereta dilihat di luar rumah ibu bapa Chirag.

“Siasatan lanjut mendapati lima kereta di garaj itu mempunyai nombor plat palsu dan disahkan kereta curi sebelum Chirag ditahan,” katanya.

Sumber : Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *