800 Kanak-Kanak Sabah Tiada Kerakyatan

KOTA KINABALU: Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah (SPRA) menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai status kewarganegaraan mendapatkan dokumen pengenalan sah untuk mereka.

Presidennya, Lee Pun Yee berkata, terdapat kira-kira 800 kanak-kanak di negeri ini tetapi tidak mendapat status kerakyatan sedangkan ibu bapa mereka adalah rakyat Sabah.

“Perkara sudah lama berlanjutan dan sebab itu kami berharap kerajaan negeri hari ini membantu kanak-kanak malang ini mendapatkan sijil kelahiran dengan segera untuk membolehkan mereka bersekolah dan melanjutkan pelajaran.

“Kita bimbang ketiadaan dokumen sah akan menghalang kemajuan kanak-kanak ini apabila mereka mencapai usia 21 tahun.

“Kita tahu ramai yang ingin melanjutkan pelajaran atau bekerja tetapi tidak mendapat faedah seperti simpanan wang pekerja disebabkan masalah dokumen,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pun Yee menjelaskan, antara punca kanak-kanak tersebut tidak memiliki dokumen sah adalah kerana ada di antara ibu bapa mereka yang tidak memiliki sijil kahwin atau daftar lewat anak-anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara.

Oleh yang demikian, beliau berkata, SPRA berhasrat untuk mengusulkan perkara ini dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, harapan kini diletakkan kepada kerajaan negeri yang ditadbir oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) setelah kerajaan terdahulu gagal membantu menyelesaikannya.

“Kami yakin dengan kewibawaan Ketua Menteri sebagai pemimpin berpengalaman… jadi tolonglah kanak-kanak ini.

“Kalau beliau tidak boleh tolong, siapa lagi… kanak-kanak ini perlukan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan,” ujarnya.

Sumber – SabahNewsToday