Curah peluntur lelaki mengangkang

Petikan rakaman video perbuatan pelajar wanita yang mendakwa dirinya aktivis sosial mencurah peluntur terhadap lelaki yang duduk mengangkang dalam kereta api bawah tanah St Petersburg, Russia. – Agensi

 

St Petersburg: Seorang pelajar wanita jurusan undang-undang di Russia, mencurahkan air bercampur peluntur ke kangkang lelaki dalam kereta api bawah tanah kerana menganggap tindakan mereka duduk mengangkang terlalu luas sebagai amat tidak sopan.

Anna Dovgalyuk, 20, menuduh lelaki yang duduk dengan cara itu sebagai ‘keganasan gender’ dan negaranya terlalu perlahan menangani isu berkenaan.

Aktivis sosial itu mensasarkan lelaki yang duduk mengangkang dalam pengangkutan awam di St Petersburg, Russia.

Menurut Daily Mail yang memetik media tempatan, wanita itu mencurahkan cecair campuran 30 liter air dengan enam liter peluntur ke kangkang lelaki yang dianggapnya duduk dengan cara tidak sopan.

“Campuran ini 30 kali lebih kuat berbanding peluntur yang digunakan ketika membasuh pakaian.

“Ia melunturkan warna pada pakaian dalam masa beberapa minit meninggalkan tompokan yang jelas,” katanya.

Dovgalyuk yang menunjukkan rakaman video ‘serangannya’ berkata: “Kami bukan saja menentang lelaki duduk mengangkang tetapi meninggalkan ‘tanda’ sebagai peringatan.”

Pelajar yang mendakwa dirinya aktivis sosial itu menjadi perhatian sebelum ini selepas menunjukkan seluar dalamnya kepada penumpang kononnya bagi meningkatkan kesedaran mengenai undang-undang rakaman bawah skirt wanita di Russia.

Ramai mengecam tindakannya dengan kritikan perbuatannya menunjukkan seluar dalam itu berfaedah atau tidak.

Dia juga menegaskan kejadian dia mencurah peluntur itu adalah asli, tidak menggunakan pelakon seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Belum ada sesiapa menyaman saya dan saya rasa tiada siapa akan membuat laporan polis mengenai kerosakan seluar jeans,” katanya.

Sumber : Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *