Kerajaan Sabah alu-alukan syarikat, ahli perniagaan dari China untuk melabur- Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 26 Sept – Kerajaan Sabah mengalu-alukan syarikat dan ahli perniagaan dari China untuk melabur dan membawa lebih banyak modal dan teknologi bagi meningkatkan momentum pembangunan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata untuk tujuan itu, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan persekitaran pelaburan yang mudah dan menggalakkan.

“Petang tadi saya berjumpa dengan sekumpulan pelabur dari China yang bersedia untuk melabur tidak kurang daripada US$2.5 bilion dalam sektor tertentu di negeri ini, yang akan mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 Penubuhan Republik Rakyat China anjuran Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu, di sini, malam ini.

Turut hadir, Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide.

Mohd Shafie berkata, kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) menghargai kerjasama dengan China.

“Oleh itu Sabah akan memanfaatkan Inisiatif One Belt and One Road untuk mengukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang seperti infrastruktur, pertanian, perhutanan, perikanan dan pelancongan.

“Perjanjian berkaitan dengan durian, getah dan minyak kelapa sawit yang ditandatangani sewaktu lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke China  baru-baru ini, menggalakkan dan saya percaya Sabah boleh mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus mengukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor perindustrian serta belajar daripada pengalaman negara berkenaan dalam meningkatkan kelajuan serta kualiti pembangunan di Sabah.

“Pejabat Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu memberikan sumbangan penting dalam mengukuhkan hubungan Sabah-China menerusi pelbagai bidang.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus mengekalkan komunikasi dan kerjasama dengan pihak Konsulat untuk bersama mempromosikan persahabatan China-Sabah dan saya berharap, kedua-dua negara terus menikmati kesejahteraan dan kedamaian serta mengekalkan persahabatan,” katanya.

— BERNAMA

98