Anwar nafi intai jawatan menteri

TAWAU : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana mahu menjadi menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, kemenangan pada PRK itu kelak membolehkan beliau memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen selain membantu tugas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

Menurutnya, selain Perdana Menteri, keputusan untuk bertanding di Parlimen Port Dickson itu juga mendapat sokongan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Tan Sri Muhyidin Yassin selain barisan pimpinan tertinggi PKR.

“Tetapi ini ada pula orang kata Anwar Ibrahim tak sabar nak masuk Parlimen nak jadi menteri…bukan nak jadi menteri, cuma nak jadi Ahli Parlimen saja.

“Takkanlah saya nak nak jadi Ahli Parlimen pun tak layak,” katanya yang di hadapan lebih 1,000 penyokongnya pada program Sambutan Hari Kebangsaan Bersama Rakyat 2018 di Taman Sawit, Balung dekat sini hari ini.

Hujan lebat sejak awal petang tadi tidak menghalang penyokong Anwar, yang pertama kali menjejakkan kaki ke daerah ini selepas dibebaskan daripada penjara, untuk terus mendengar ceramah selama hampir 45 minit itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa rakyat supaya terus menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri walaupun menurutnya terdapat pelbagai cubaan mengeruhkan hubungan antara mereka berdua.

“Ada orang yang nak cucuk-cucuk, gaduh, fitnah dan macam-macam.

“Sekarang saya nak bagi tahu kita (rakyat) sudah nobatkan beliau (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri, kita mesti bersatu, kuat dan sokong beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *