Lelaki maut, rakan parah kereta api rempuh kereta

SEBUAH kereta jenis Proton Preve dirempuh keretapi penumpang di simpang masuk ke Tugu Peringatan di Petagas. – Foto Khairull Azry Bidin

 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut, manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh kereta api dekat landasan di Jalan Lapangan Terbang KKIA berhampiran Tugu Peringatan Petagas, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 tengah hari itu, kereta PROTON Preve dipandu Mohd Amir Khairi Abdul Ghani, 20, dan Daniel Shafwan Omar, 22, diseret sejauh 200 meter menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami pelbagai kecederaan.

Kedua-dua mangsa yang bekerja dengan syarikat penerbangan Maswings diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut, namun Daniel Shafwan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata nahas berlaku di simpang berpalang di Tugu Peringatan Petagas.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian palang penghadang kereta api melintas tidak dipasang dan pemandu kereta yang dalam perjalanan dari Tugu Peringatan Petagas ke Kepayan tidak menyedari kereta api melalui landasan.

“Setelah berada di atas landasan, kereta api terus merempuh dan mengheret kereta berkenaan sejauh kira-kira 100 meter,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Saksi kejadian yang juga peniaga di gerai cendol berhampiran, Abdul Karim Abdul Ghani, 64, berkata dia terdengar siren kereta api sebelum dentuman kuat lalu mendapati berlaku kemalangan antara sebuah kereta dengan kereta api.

KEADAAN kereta selepas dirempuh kereta api. – Ihsan Bomba

Abdul Karim berkata, kereta terbabit diheret kereta api berkenaan sebelum berhenti kira-kira 200 meter dari simpang laluan ke kawasan Tugu Peringatan Petagas.

“Hujan renyai-renyai ketika kejadian dan saya pun tidak berapa pasti sama ada penghadang di lintasan kereta api itu berfungsi ketika kejadian,” katanya.

Difahamkan, kereta api itu dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Stesen Tanjung Aru.

Sementara itu, penumpang kereta api, Sazali Shari, 38, dari Beaufort, berkata mereka hanya sedar ada kemalangan apabila kereta api itu berhenti secara tiba-tiba dan tiada penumpang kereta api cedera.

“Saya duduk di gerabak paling belakang dan tidak dengar apa-apa kecuali bunyi siren dan kereta api itu bergerak agak perlahan. Kami hanya sedar ada kemalangan selepas kereta api itu tiba-tiba berhenti,” katanya.

Kereta api itu kemudian meneruskan perjalanan ke Stesen Tanjung Aru, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Sumber : Berita Harian Online

216