Itu Khabar Angin Berniat Jahat, Shafie Apdal Nafi ADUN Mahu Keluar Parti

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 13 Dis : Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahu meninggalkan parti itu.

“Warisan kekal utuh. Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada ADUN Warisan yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Warisan telah mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pagi tadi yang turut dihadiri wakil rakyat parti itu.

“Semua ADUN Warisan mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti,” katanya sambil menambah AMT dan wakil rakyat parti itu juga sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ini, Warisan mempunyai 19 ADUN di Sabah dan satu di Selangor serta tiga Ahli Parlimen.

Dalam kenyataan berasingan, ADUN Darau Azhar Matussin yang juga AMT Warisan menyangkal dakwaan kononnya beliau bersama enam lagi wakil rakyat akan meninggalkan parti itu.

“Ini hanya sekadar mainan politik sekali gus sengaja menimbulkan isu untuk mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi, semua ADUN Warisan berada di belakang Presiden,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *