PRN Sabah : Kerusi Parlimen Putatan, Kalabakan Berisiko Kosong

Datuk Shahelmey Yahya (kiri) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

KUALA LUMPUR: Kerusi Parlimen milik dua wakil rakyat UMNO yang digantung keahlian parti masing-masing, Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berdepan risiko dibatalkan jika mereka bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah.

Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Anti Lompat Parti, tiada peruntukan yang mengecualikan lompat parti di antara parti dalam sesebuah pakatan.

Beliau berkata, ia bermaksud, dalam konteks ahli keluar UMNO dan masuk GRS untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, ia masih dianggap perbuatan melompat parti.

Katanya, tindakan itu sekali gus menyebabkan kerusi Parlimen yang disandang kedua-dua wakil rakyat terbabit berisiko dikosongkan walaupun tujuan mereka lompat parti itu adalah untuk bertanding DUN.

“Dua ahli politik itu masih (dianggap) lompat parti walaupun untuk tujuan bertanding DUN sebab mereka sudah pindah parti dari Barisan Nasional (BN) kepada GRS.

“Secara hakikinya, mereka tidak lagi dengan BN tetapi dengan GRS pula. Jadi situasi itu membuatkan kerusi Parlimen yang disandang mereka berisiko untuk perlu dikosongkan,” katanya kepada BH, di sini.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, menyandang kerusi DUN Tanjung Keramat.

Andi Muhammad Suryady yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Pembantu Menteri Interim Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah pula penyandang kerusi DUN Tanjung Batu.

Terdahulu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata gabungan itu tiada halangan untuk menerima Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady untuk dicalonkan semula pada PRN17 Sabah bagi mempertahankan kerusi DUN yang disandang mereka.

Malah, Hajiji mengaku dua pemimpin berkenaan ada memaklumkan hasrat untuk bertanding menggunakan tiket GRS.

Pada masa sama, Nik Ahmad Kamal menegaskan, peruntukan Akta Anti Lompat Parti jelas mengenai perkara ini dan tiada keraguan mengenainya.

“Tiada pertikaian atau kelompangan yang boleh dipertikaikan dalam aspek ini bagi membela tindakan mereka,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan akta terbabit, pengecualian hanya terpakai jika sesebuah parti berpindah dari satu pakatan ke pakatan yang lain.

Katanya, jika ini berlaku kedudukan kerusi Parlimen wakil rakyat itu selamat dan tidak terbatal.

“Contohnya GRS dalam Pakatan Harapan (PH) berhenti menyokong PH dan masuk Perikatan Nasional (PN).

“Maka yang pindah sokongan bukan Ahli Parlimen atau ADUN tetapi keseluruhan parti. Ini tidak dianggap sebagai lompat parti,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 49A dan peruntukan sama Perlembagaan Persekutuan, kerusi Parlimen seseorang wakil rakyat selamat jika mereka dipecat dan bukan bertindak secara sukarela lompat parti.

“Jika mereka dipecat ketika dicalonkan, maka mereka tidak hilang kerusi Parlimen,” katanya.

 Tiada dalam senarai BN 

Sementara itu di Kota Kinabalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengulangi ketegasan tidak akan menamakan Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady untuk mempertahankan kerusi DUN masing-masing berikutan tindakan mereka menyokong GRS.

“Nama dua orang itu (Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady) tiada dalam senarai calon BN.

“Kita tidak akan mencalonkan pemimpin yang menjadi pengkhianat kepada parti,” tegasnya dalam sidang media malam kelmarin.

Kedua-dua wakil rakyat UMNO digantung keahlian parti selama enam tahun mulai 2023 selepas menyatakan pendirian menyokong kerajaan GRS dan kepemimpinan Hajiji selepas UMNO Sabah membuat keputusan menarik sokongan pada Januari 2023.

Bung Moktar berkata, jika kedua-dua mereka bertanding atas tiket GRS atau parti lain, kerusi Parlimen yang diduduki mereka secara automatik menjadi kosong disebabkan undang-undang anti lompat parti kerana status mereka ketika ini masih sebagai Ahli Parlimen BN.

Bagaimanapun, katanya perkara itu akan diteliti UMNO Pusat, sama ada bakal berlaku pilihan raya kecil (PRK) atau tidak bagi kedua-dua kerusi Parlimen itu apabila Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady sudah sah dicalonkan oleh GRS atau parti lain untuk bertanding pada PRN17 kelak.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berpendapat kedudukan kerusi Parlimen dan DUN dua wakil rakyat itu memerlukan analisis terperinci memandangkan kerusi dimenangi mereka ditandingi secara kolektif di antara BN dan GRS.

Namun, beliau percaya Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady sudah sedia berdepan sebarang kesan jika membuat keputusan bertanding dalam PRN17 atas tiket GRS.

SumbeR: Berita Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *