
SEMPORNA: Seorang penjawat awam ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai bernilai lebih RM190,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Tiga, Jalan Kabogan, semalam.
Serbuan dijalankan Task Force Perisikan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan bantuan Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring Alpha 1).
Pemangku Komander Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Ahmad Radzi berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat dan risikan mengenai kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil risikan mendapati suspek sedang memunggah beberapa beg plastik hitam dari sebuah rumah ke dalam bonet kereta sebelum pasukan menyerbu lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dan rumah suspek, kita menemukan sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.
“Antara barangan yang dirampas termasuklah rokok tanpa cukai pelbagai jenama, sebuah kereta, dua unit telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, lelaki berkenaan ditahan dan semua rampasan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM192,600.
“Suspek yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Sabah ditahan untuk siasatan lanjut.
“Semua rampasan berkenaan kemudian diserahkan kepada Cawangan Jenayah IPD Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan PGA akan terus mempergiatkan operasi membanteras penyeludupan dan penyelewengan barangan terkawal bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menjaga keselamatan negara.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah