
SEMPORNA: Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira potensi calon-calon yang telah dikenal pasti di setiap kawasan, selain keyakinan terhadap sokongan rakyat terhadap parti berkenaan.
“Maka dengan itu, WARISAN akan bertanding di kesemua 73 kerusi kerana kita sudah mempunyai calon yang berpotensi untuk menang dan diterima oleh rakyat.
“Kita hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, hari ini.
Mengulas lanjut, Shafie berkata, pemilihan calon dibuat berdasarkan tiga kriteria utama iaitu boleh menang, setia kepada parti dan mampu memberi perkhidmatan berterusan kepada rakyat.
“Calon itu mestilah berupaya menang, bukan jenis melompat parti, dan mampu berkhidmat kepada rakyat selepas menang kelak.
“Kita tidak mahu bila sudah jadi YB, rakyat ditinggalkan. Kita tidak mahu calon yang hanya muncul dekat musim pilihan raya sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan khabar angin yang mendakwa WARISAN akan bekerjasama atau bergabung dengan parti-parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN).
“Kita tidak tahu, kadang-kadang banyak cerita, dulu kata kita mahu kerjasama dengan UMNO, sekarang cerita baru pula dengan Perikatan Nasional.
“Lepas ini entah siapa pula. Saya sudah nyatakan dengan jelas, kita hanya bekerjasama dengan rakyat Sabah,” katanya.
Shafie turut menzahirkan kebimbangan terhadap senario politik di Sabah yang dilihat semakin bercelaru dengan kewujudan terlalu banyak parti politik, berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.
“Tempat paling banyak parti politik di dunia ini mungkin di Sabah. Saya tidak nampak keadaan seperti ini di Amerika, Jepun atau UK. Ia menjadi gelanggang perpecahan yang besar,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar rakyat Sabah memperkukuhkan kesatuan dan tidak mudah berpecah hanya kerana perbezaan ideologi politik.
Sementara itu Shafie berkata, usaha memperkasakan penduduk kampung luar bandar sentiasa menjadi keutamaan WARISAN, bukan sekadar menjelang musim pilihan raya.
“Kita turun ke bawah bukan musim pilihan raya sahaja. Sudah enam tahun saya jadi pembangkang, tapi kita tetap berkhidmat,” katanya
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah