PAS Sedia Perjuang Hak Rakyat Sabah Jika Diberi Mandat Pada PRN

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

TAWAU : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu konsisten memperjuangkan isu-isu berkaitan Sabah, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan luar bandar dan pengurangan kadar kemiskinan.

Katanya, PAS juga komited mahu meningkatkan pembangunan di kawasan luar bandar dan pengurangan kadar kemiskinan di negeri ini.

“Kita pernah berada dalam kerajaan Persekutuan dan saya sendiri ketika itu memegang jawatan Menteri Undang-Undang, malah terlibat secara langsung dalam rundingan MA63 bersama Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili.

“Banyak kemajuan telah dicapai hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Walaupun sekarang kita bukan lagi kerajaan, perjuangan ini tidak akan berhenti,” katanya.

Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jelajah Rakyat Tawau di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai demografi Sabah berbilang etnik dan agama, beliau berkata PAS berpegang kepada prinsip bahawa Islam adalah penyelesaian menyeluruh kepada pelbagai cabaran termasuk soal pemerintahan, keadilan sosial dan perpaduan masyarakat.

Katanya, Islam menjamin keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama. Prinsip inilah yang menjadi teras perjuangan PAS selama ini.

“Kita yakin rakyat Sabah mampu menerima pendekatan yang inklusif dan menyatupadukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa PAS akan terus menghormati masyarakat majmuk di Sabah serta mendekati rakyat dengan pendekatan yang harmoni dan menyeluruh.

“Sabah adalah cerminan keharmonian masyarakat pelbagai latar belakang. Kita akan terus sampaikan mesej Islam yang adil, terbuka dan menekankan kebajikan kepada semua golongan,” katanya

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *