Kebakaran Musnahkan 25 Rumah Di Kampung Kurnia Jaya

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi.

TAWAU : Sebanyak 25 buah rumah tidak kekal dan sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran besar yang berlaku di Kampung Kurnia Jaya, di sini, pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.37 pagi menerusi talian MERS999.

“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi kejadian pada jam 9.48 pagi, dengan jarak perjalanan kira-kira lapan kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kebakaran melibatkan keseluruhan 26 rumah iaitu dua unit berkeluasan 30×40 kaki persegi, lapan unit bersaiz 10×15 kaki dan 16 unit bersaiz 10×10 kaki dengan jumlah keluasan keseluruhan kawasan terbakar mencecah 80×150 kaki persegi. 

“Turut terbakar ialah sebuah motosikal yang musnah 100 peratus.

“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran sekali gus menyelamatkan kira-kira 1,300 buah rumah lain daripada turut terbakar,” katanya.

Menurutnya, pemadaman dilakukan menggunakan tiga aliran air iaitu satu aliran 300 kaki dengan pancutan dari pam angkut sumber air terbuka (laut), serta dua aliran 200 kaki dari jentera FRT dengan sumber air dari tangki jentera bomba.

“Teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ digunakan bagi mengawal kebakaran dan mengelakkan api daripada merebak ke kawasan perumahan bersebelahan,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.14 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 11.45 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan di sekitar lokasi.

“Semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba. Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *