Dakwaan ADUN Rasuah: Masiung Sahkan FDipanggil SPRM Lagi, Video Ditayang Semula

Datuk Masiung Banah

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menayangkan semula video berkaitan dakwaan rasuah terhadapnya ketika beliau dipanggil semula untuk membantu siasatan.

Masiung menegaskan untuk terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, malah sebelum ini beliau sendiri tampil memberi keterangan kepada SPRM.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bersedia untuk memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa. Kita datang ke SPRM dengan rasa bertanggungjawab dan meyakini bahawa kita berada di pihak yang benar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Bersama Media di kediamannya di Kapayan, pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan video yang ditayangkan adalah video sama yang tular di media sosial dan mempunyai unsur suntingan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penelitian yang rapi perlu dilakukan terhadap 10 video yang dikemukakan SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan ADUN Sabah.

Menurutnya, seramai lapan ADUN telah dipanggil semula dan video tersebut dimainkan di hadapan mereka untuk memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku.

Sementara itu, ditanya jika beliau berhasrat mengekalkan kawasan yang diwakilinya, Masiung memaklumkan bahawa tiada halangan untuknya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Kuamut.

“Kita ini sudah bekerja lama dengan kawasan, jadi apa pun, semua terserah kepada pucuk pimpinan parti sama ada kita dikekalkan atau tidak.

“Tapi kalau ikut keadaan semasa, saya tidak ada halangan yang besar untuk mempertahankan kawasan Kuamut untuk saya bertanding pada pilihan yang akan datang,” katanya.

Tambah Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu lagi, ketika ini parti sedang dalam proses jelajah ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan menggunakan logo serta bendera Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Masiung yang bertanding atas tiket Bebas berjaya menewaskan empat calon lain dengan jumlah undi sebanyak 2,802.

SumbeR: SINAR

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *