
KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menegaskan tiada sebarang pertemuan diadakan dengan UMNO seperti yang didakwa Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berhubung rundingan awal antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, tiada sebarang makluman diberikan kepadanya berhubung dakwaan pertemuan tersebut.
“Jawapannya, tidak ada perjumpaan dibuat. Secara jelas, saya tidak pernah di telefon (dihubungi), saya tidak pernah diberitahu.
“Ini adalah pandangan kumpulan mereka yang berminat bersama dengan kita dan bagi kita, siapa yang mempunyai inspirasi yang sama, mempunyai impian yang sama dengan kita untuk Sabah ini keluar daripada masalah ini, kita alu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Raya Sekampung di Masjid Tun Ahmad Shah, Kampung Inanam Laut dekat sini pada Sabtu.
Sebelum itu, Peto diminta mengulas dakwaan Bung Moktar bahawa perbincangan awal telah dibuat selepas 12 hari pengumumannya mengenai kerjasama dengan PH Sabah untuk menghadapi PRN Sabah.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam berkata, ketika ini PKR selesa bekerjasama dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus.
“Kita senang dengan kerjasama kerajaan yang ada sekarang, kerana kita mempunyai wewenang ataupun impian yang sama dan seperti yang dikatakan oleh beberapa pemimpin dalam PH, konsep kita bekerjasama ini amat jelas, kita hanya mahu pemimpin yang ke depan ini.
Parti-parti yang berkolaborasi ini mempunyai impian yang sama untuk membawa kita ke depan, membawa perubahan yang drastik terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Peto berkata, kemungkinan untuk PH bekerjasama dengan parti lain boleh berlaku sekiranya mereka berkongsi impian yang sama.
“Jadi pemimpin yang ada sekarang ini perlu bekerja keras dan kita menentukan pemimpin yang akan membentuk Kabinet Sabah yang akan datang ini,” katanya.
SumbeR: SINAR
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah