
KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony tidak membuat permohonan untuk pengampunan diraja seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan.
Setiausaha Agung Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Willie Jude Junaidi berkata, setakat ini, Peter hanya memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman terhadapnya pada 4 Mac lalu.
Katanya, semakan kehakiman itu telah difailkan minggu lalu, manakala pengurusan kes ditetapkan dalam tempoh terdekat.
“Laporan mengatakan Peter telah memohon pengampunan diraja seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan yang memetik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya adalah tidak tepat.
“Peter setakat ini hanya memfailkan semakan kehakiman dan belum sampai ke tahap itu (memohon pengampunan diraja). Ramai yang bertanya kepada saya dan oleh sebab itu, penjelasan perlu diberikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Willie berkata lagi, pihak parti juga telah menghantar notis kepada Speaker DUN Sabah berhubung permohonan semakan kehakiman itu.
Katanya, notis itu telah dihantar dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan oleh Speaker DUN Sabah sebelum ini.
“Kami telah menghantar notis itu kepada pihak DUN dalam tempoh yang ditetapkan dan kini terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, Speaker DUN Sabah berkata, Peter Anthony mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan sebelum kerusinya dikosongkan secara automatik.
“Bagi pihak parti, kami mendoakan yang terbaik buat beliau dan berharap keputusan semakan kehakiman itu nanti akan berpihak kepadanya,” katanya.
Sebelum itu, pada 4 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
SumbeR: SINAR
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah