
KOTA KINABALU: Dianggarkan 50 peratus jalan raya Persekutuan di Sabah berada pada kondisi lima, bermaksud struktur asasnya sudah rosak dan perlu dibuat semula.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata disebabkan itu kerja pembaikan kerosakan atau penampalan jalan berlubang tidak mampu bertahan lama.
Katanya, penyelesaian kepada masalah itu hanya melalui pembinaan semula jalan sedia ada atau menaik taraf ke jalan baharu seperti projek Lebuhraya Pan Borneo yang dijalankan sekarang.
“Kondisi lima ini maknanya boleh bertahan sekejap saja, tapi asas jalan sudah koyak dan nipis. Jadi kalau menampal saja tidak memadai,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, petugas pusat operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan media hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu mengulas dakwaan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai 30 hingga 40 peratus Jalan Tawau-Sandakan-Kota Kinabalu rosak hingga membahayakan pengguna.
Shahelmey mengakui kebanyakan jajaran jalan Persekutuan di Sabah sudah melebihi tempoh jangka hayat 20 tahun dan patut ditukar atau dinaik taraf.
Bagaimanapun, katanya peruntukan tidak mencukupi menyebabkan pembinaan semula tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan perkara itu turut disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika taklimat pembangunan negeri sempena Majlis Berbuka Puasa Madani dihadiri Perdana Menteri di Tuaran, semalam.
“Setiap tahun perlukan peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara 110 kilometer (km) jalan Persekutuan, tapi peruntukan diberi hanya cukup untuk 50km.
“Jadi, setiap tahun ada pembaikan jalan tertunggak hingga lama kelamaan jumlah jajaran rosak bertambah kerana ‘dikejar’ jangka hayat jalan yang sudah habis,” katanya mengakui pembaikan jajaran jalan raya Persekutuan rosak ketika ini ada tertunggak sehingga lima tahun disebabkan peruntukan tidak mencukupi.
Bagi jalan negeri pula, Shahelmey berkata kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan untuk tahun ini dan kerja pembaikan jalan rosak sedang dijalankan.
“Cuma masalahnya cuaca hujan sekarang dan berlaku banyak tanah runtuh, selain jambatan rosak di beberapa kawasan, jadi menjejaskan kerja pembaikan jalan yang dilaksanakan,” katanya.
SumbeR: BH Online
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah