UMNO Sabah Tak Akan Kerjasama Dengan Pihak Mahu Hancurkan Parti

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata pihaknya menarik balik sokongan kepada ketua menteri sebab rasa dianaktirikan.

KOTA KINABALU : Umno Sabah tidak akan melakukan kerjasama politik dengan parti yang mahu menghancurkan mereka menjelang PRN nanti.

Ketuanya, Bung Moktar Radin berkata Umno tidak mahu sekali lagi ditipu rakan kerjasama selepas berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Kita belum memutuskan mana-mana parti untuk kita bekerjasama untuk berhadapan PRN akan datang, tapi saya nak jelaskan bahawa Umno tak akan kerjasama dengan parti setiap hari kerjanya menikam Umno, memperlekah Umno, mengecilkan Umno, dan menindas Umno,” katanya .

Bung tidak menamakan parti berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Umno sedia bekerjasama dengan parti lain untuk menghadapi PRN.

Desas-desus kerjasama Umno dan Warisan untuk berdepan PRN bertiup sejak Disember lalu, susulan kehadiran Bung Moktar ke perhimpunan agung tahunan Warisan.

FMT sebelum ini melaporkan kewujudan persetujuan kerjasama antara Umno, Pakatan Harapan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, dan Warisan untuk berdepan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN ke-17.

Umno Sabah menarik balik sokongan kepada Pengerusi GRS Hajiji Noor sebagai ketua menteri, pada Januari tahun lalu.

“Kita menarik diri disebabkan beberapa perkara yang kita rasa Umno dianaktirikan dan kalau kita bertahan dalam kerajaan itu Umno makin lama makin kecil,” kata Bung.

“Bila PRN diadakan Umno sedia masuk gelanggang berdepan mana-mana parti.”

Sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin parti di Sabah fokus bina kekuatan Umno terlebih dahulu, sebelum mengadakan rundingan kerjasama politik dengan parti lain.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *