KOTA KINABALU : Seorang pengguna Facebook merayu bantuan orang ramai untuk menyelamatkan ibunya yang terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Pangasakan, Inobong, Penampang.
Perkara itu dikongsikan setengah jam yang lalu melalui satu hantaran pemilik akaun Georgina Jojie yang meminta mana-mana pihak yang mempunyai bot untuk mengambil ibunya yang berada di rumah tersebut.
Dalam perkongsian itu, turut disertakan gambar keadaan banjir yang melanda kampung mereka dipercayai susulan hujan berterusan sejak beberapa jam lalu.
“Minta tolong siapa-siapa yang ada bot, tolong mak saya, Beriberia Takong yang terperangkap di rumah si Kampung Pangasakan, Inobong, selepas tamu Inobong, Penampang, (rumah) berdekatan sungai.
“Air sudah sampai di tingkat dua, mahu sampai bumbung sudah. Tak dapat hubungi mak saya, talian telefon dia tidak dapat disambung,” tulisnya dalam Facebook pada Ahad.
Katanya lagi, dia sudah menghubungi talian kecemasan namun masih menunggu bantuan tetapi dalam masa sama berharap ada pihak yang dapat membantu ibunya.
“Sudah hubungi 999 dan Bomba Sembulan Kota Kinabalu sedang tunggu pertolongan, tetapi jika sesiapa ada bot, minta jasa baik tolong. Terima kasih,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost