Gaduh Di KKIP, Sembilan Termasuk Lima Warga China Ditahan

Tangkap layar rakaman video tular pergaduhan di hadapan sebuah kilang di KKIP, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sembilan pekerja kilang termasuk lima warga China ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam.

Kejadian yang turut tular di media sosial itu dilaporkan berlaku di hadapan sebuah kilang milik syarikat luar negara kira-kira jam 5.30 petang.

Pergaduhan membabitkan pekerja kilang itu dipercayai berpunca daripada seorang pekerja China yang didakwa melanggar bahu seorang pekerja tempatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata berdasarkan laporan polis dan siasatan yang dijalankan, semua suspek berjaya ditahan pada jam 3.30 pagi.

Katanya, tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan serta lima warga asing dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar menggunakan cap jari selepas tamat masa bekerja.

“Salah seorang suspek warga China dikatakan melanggar bahu seorang pekerja tempatan namun ia tidak langsung diendahkan.”

“Bagaimanapun, seorang lagi pekerja warga China tiba-tiba menjerit dan menunding jari ke arah pekerja tempatan terbabit sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang sambil memegang sebatang kayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata pekerja tempatan terbabit sekali lagi tidak mengendahkan ajakan pekerja asing berkenaan namun sebaik berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk dari arah belakang.

Katanya, kejadian menyebabkan pergelutan sebelum keadaan bertukar menjadi huru hara apabila ia disertai lebih ramai individu daripada kedua-dua belah pihak.

Pergaduhan turut membabitkan penggunaan kayu dan besi yang dipercayai diambil dari kawasan luar kilang berkenaan.

Pergaduhan dileraikan hasil campur tangan pengawal keselamatan dan pekerja kilang lain.

Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan membabitkan kedua-dua pihak.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *