Graduan KV Keningau Terima Anugerah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

KENINGAU : Anzenikha Zali, graduan Kolej Vokasional Keningau dalam program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, telah menerima anugerah khas semasa Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada 29 Februari sehingga 5 Mac 2024.

Anugerah tersebut yang julung kali diadakan telah disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Haji Azman bin Haji Adnan. Ianya terdiri daripada sijil, plak, wang tunai dan hadiah iringan.

Pelajar ini dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah ini kerana pelbagai pencapaiannya dalam bidang inovasi, seni, penulisan, kepimpinan dan sukan selain daripada keputusan akademik yang cemerlang.

Dia pernah mengetuai pasukan sekolahnya memenangi tempat pertama kategori persembahan puisi di festival seni dalam talian pada awal tahun 2022 dan dia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan penulisan lagu anjuran persatuan Never Such Innocence, United Kingdom, pada tahun yang sama.

Dia juga pernah berjaya menerbitkan cerpen hasil karyanya sendiri yang bertajuk “Linangkit” yang diilhamkan dari budaya etnik Dusun di sebuah majalah sastera antarabangsa pada tahun 2021.

Dia telah membentang projek inovasinya di beberapa persidangan dalam talian dari tahun 2022 sehingga tahun 2023.

Dia juga merupakan salah seorang ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) dan adalah salah seorang pemain bola lisu pasukan kolej tersebut yang pernah memenangi beberapa kejohanan.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pelajar ini kerana ianya membuktikan kegigihan para pelajar kolej vokasional yang menggunakan kemahiran dan peluang yang mereka ada untuk mengasah bakat dan potensi mereka.

Anzenikha Zali berasa sangat terharu dengan penganugerahan tersebut memandangkan ianya menjadikan dia lebih bersemangat untuk terus menggunakan kemahiran yang dipelajarinya demi kebaikan komuniti setempat khususnya di Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *