CAAM Sahkan Penerbangan MH2664 Ke Tawau Berpatah Balik Ke KLIA

Foto Hiasan

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan penerbangan Malaysia Airlines MH2664 yang dalam perjalanan ke Tawau pada hari ini, berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud ketika dihubungi Bernama berkata CAAM telah menerima laporan daripada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) tentang insiden berkenaan.

“Saya dapat laporan daripada ATC. Laporan cuma cakap berpatah balik dan ‘tiada kejadian susulan’.

“Syarikat akan bagi laporan terperinci dalam masa 48 jam kepada CAAM,” katanya.

Berdasarkan maklumat dipaparkan laman web www.flightaware.com, penerbangan MH2664 dilaporkan berlepas 2.45 petang sebelum berpatah balik ke KLIA.

Pesawat itu dilaporkan berlegar-legar di ruang udara di Pahang sebelum tiba di KLIA pukul 5.07 petang.

Setakat 8.30 malam, MAS masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *