KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Persekutuan perlu sehaluan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai.
Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata pendedahan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung kadar kemiskinan tegar yang tinggi di Sabah menunjukkan kerajaan Persekutuan mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk negeri berkenaan.
“Kerajaan negeri akan berusaha demi kepentingan rakyat, namun kita perlu sehaluan dengan kerajaan Persekutuan dalam hal ini.
“Sabah memiliki Menteri Persekutuan yang menjaga hal pembangunan luar bandar selama bertahun-tahun, namun masalah itu (kemiskinan tegar) berterusan.
“Usahlah kita menuding jari siapa yang bersalah dalam isu kemiskinan berlarutan di Sabah sebaliknya bekerjasama untuk mencari penyelesaiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Rafizi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata kemiskinan tegar di Sabah direkodkan pada kadar 1.2 peratus berbanding kadar nasional sebanyak 0.2 peratus.
Joniston berkata kemiskinan telah menjadi isu berterusan bagi Sabah dan topik yang sering digunakan pembangkang dalam memancing sentimen dan menawan sokongan rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah menghasilkan pelan induk komprehensif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat yang memerlukan sedikit masa untuk membuahkan hasil.
“Dalam komitmen terhadap slogan ‘Sabah Maju Jaya’, kerajaan negeri diterajui GRS-PH Plus konsisten meneruskan usaha untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan di negeri ini.
“Kemiskinan di Sabah mampu ditangani dengan berkesan jika 40 peratus bahagian hasil bersih yang diperoleh daripada negeri itu dikembalikan,” katanya. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost