Nenek Hilang Ditemukan Mati Dalam Hutan Di Beaufort

Pasukan penyelamat membawa mayat Kamariah Sungkim, 74, keluar dari kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Binunuk, Beaufort, petang tadi.

BEAUFORT: Misteri kehilangan seorang nenek sejak semalam terungkai selepas dia ditemukan mati dalam hutan Kampung Binunuk, di sini, hari ini.

Kamariah Sungkim, 74, ditemukan di satu lokasi kira-kira 1.7 kilometer dari belakang rumahnya pada jam 2.52 petang tadi, sehari selepas dia disedari hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya terdahulu menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa daripada polis, jam 10 pagi tadi.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat, mangsa keluar ke kebun kira-kira jam 9.30 pagi Khamis dan disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sehingga petang.

“Operasi dijalankan bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu penduduk kampung di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian berjaya ditemukan agensi penyelamat, namun disahkan sudah meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi keseluruhan ditamatkan pada jam 3 petang,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *