Lima Warga Filipina Dipenjara Kerana Simpan Barang Kawalan

PATI warga Filipina dihukum kerana menyimpan barang kawalan tanpa lesen.

TAWAU : Lima pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina masing-masing dipenjara lapan dan 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyimpan barangan kawalan berjadual tanpa lesen.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Wan Sih Otoan, 30; David Badtera, 19; Rokih Otoan, 23; dan Nursalih Abdul Lanang, 23, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Bajau.

Kesemua mereka yang mempunyai pertalian darah (sepupu) dituduh secara bersama menyimpan barangan kawalan berjadual yang tidak dilesenkan atau dibenarkan iaitu petrol berjumlah 2,750 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah.

Kesalahan itu dilakukan kesemua tertuduh di kawasan perairan Nusa Kuya, Semporna pada 5.50 pagi, 10 Mac lalu.

Sementara itu, Om Hussin, 35, pula dihukum penjara lapan bulan atas kesalahan menyimpan 630 liter petrol, 120 liter diesel dan lima tong gas LPG di dalam kapal kargo di Jeti Kampung Dap-Dap Semporna, pada 6 petang, 9 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Dr Jong Jee Leong, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dan kesemua tertuduh perlu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *