Dua Maut Kereta Terjunam Laut Di Lahad Datu

Anggota bomba menjalankan operasi menaikkan mangsa terperangkap dalam kereta selepas kenderaan dinaiki terjunam ke laut. Facebook JBPM

LAHAD DATU : Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam laut dekat Jalan Batu 7, Kampung Payang, Lahad Datu.

Mangsa dikenali Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan lemas oleh pasukan bomba yang terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.50 malam tadi.

Katanya, seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi dan mendapati kereta Perodua Myvi terjunam dalam laut.

“Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam Syarikat Synergy Multi Resources Sdn Bhd,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, selaman pertama berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada 12.06 tengah malam.

“Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta Myvi untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan lebih cetek bagi mencari mangsa kedua.

“Selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba dan mangsa kedua ditemui pada 1.31 pagi,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan operasi tamat pada 1.58 pagi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *