Warga Filipina Guna IC Palsu Kerja Di Malaysia Sejak 10 Tahun Lalu

Suami isteri warga Filipina ditahan kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 10 tahun lalu. – FOTO: Ihsan JPN

KUALA LUMPUR : Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kota Damansara, di sini, semalam. berjaya menahan dua warga Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pasangan suami isteri itu dipercayai masuk ke Malaysia melalui Johor Bahru pada 2006.

“Kedua-dua suspek yang berasal dari Filipina itu dipercayai membeli kad pengenalan palsu berkenaan dengan bayaran sekitar RM350 hingga RM500.

“Pasangan itu menggunakan kad pengenalan palsu berkenaan bagi tujuan mencari kerja. Mereka pernah gunakannya untuk bekerja di kilang sabun di Johor dan kini sebagai pengawal keselamatan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pasangan itu mempunyai lima orang anak, kesemuanya warganegara Filipina berusia antara 18 hingga 33 tahun.

Katanya, operasi 6 petang itu dijalankan hasil risikan Bahagian Penguatkuasa JPN bagi memastikan tindakan dapat diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan itu.

“Kedua-dua suspek boleh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kes terbabit akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *